Blog Archives

Diet penentu rambut sihat

Diet penentu rambut sihatRAMBUT yang cantik dan sihat tidak hanya pada fizikal. Sebagai aksesori fesyen, kesihatan rambut sepatutnya bermula dari pangkal akar. Sayangnya, saban hari rambut kita terdedah kepada pelbagai jenis faktor yang mengakibatkan keguguran rambut. Pencemaran, kesan pendingin udara dan diet menjadi antara elemen negatif yang memudaratkan mahkota kebanyakan orang.

Pola pemakanan yang lemah dan pilihan diet merupakan antara faktor penentu tahap kesihatan rambut seseorang.

Makanan yang terlalu masin, terlampau berminyak atau tidak mengandungi buah-buahan dan sayuran. Semua ini adalah contoh tabiat pemakanan yang lemah. Ini tidak termasuk mereka yang memperoleh protein daripada sumber berkualiti rendah.

“Ramai yang fikir protein hanya diperoleh daripada daging merah. Misalnya daging lembu, kambing atau itik. Tetapi sebenarnya protein juga datang daripada sayuran.

“Masalahnya, kebanyakan orang telah ‘menterbalikkan’ piramid pemakanan. Makanan yang berlemak sepatutnya dikurangkan kuantiti pengambilannya bagaimanapun telah dibanyakkan. Jadi, bagaimanakah rambut boleh memperoleh nutrien yang seimbang?” soalnya kepada Kosmo! dalam sesi promosi produk Himalaya, Hair Revival Cream di ibu negara baru-baru ini.

Faktor pemakanan ini tidaklah begitu teruk asalkan tuan empunya badan sanggup melakukan sedikit pengubahsuaian pada diet.

Keguguran

Keguguran antara 80 hingga 120 helai rambut setiap hari bukan perkara yang menakutkan. Sebaliknya, keadaan ini dianggap normal memandangkan ia adalah sebahagian daripada kitaran pertumbuhan rambut yang sihat.

Namun, berapa ramaikah yang sedar setiap kitaran rambut terbahagi kepada tiga peringkat iaitu anagen, catagen dan telogen?

“Anagen adalah fasa pertumbuhan, catagen pula peringkat peralihan manakala fasa rehat kita gelarkan sebagai telogen.

“Pada peringkat anagen, rambut biasanya tidak berhenti tumbuh. Ini ialah fasa aktif. Pada ketika ini rambut kita hidup dan boleh tumbuh sepanjang satu sentimeter setiap 28 hari,” jelas Zhi Wei sambil memberitahu peringkat kitaran ini bertahan selama dua hingga enam tahun.

Peringkat ini juga menjadi penentu kepada tahap pertumbuhan rambut seseorang. Maksudnya, mereka yang sering mengadu menghadapi masalah untuk menyimpan rambut panjang berkemungkinan besar hanya memiliki tempoh fasa aktif anagen yang singkat.

Sama seperti kadar metabolisma yang merosot seiring dengan peningkatan usia, fasa anagen juga menjadi kurang aktif. Gangguan pada peringkat ini akibat pengambilan ubatan tertentu boleh mengakibatkan masalah keguguran rambut.

“Beralih kepada fasa catagen, peringkat ini bertahan sekitar dua hingga tiga minggu. Ini ialah tempoh peralihan. Proses pertumbuhan rambut sudah berhenti pada fasa ini.

“Pada ketika ini kulit kepala sudah bersedia untuk memasuki peringkat kitaran yang baru,” terang Zhi Wei lagi.

Apabila memasuki fasa telogen, rambut lama akan mula gugur. Setiap hari, sekitar 25 hingga 100 urat rambut telogen akan digugurkan. Keadaan ini disifatkan normal kerana ia memberi laluan kepada pertumbuhan rambut

Berakhirnya peringkat ini, kitaran pertumbuhan rambut akan bermula dari fasa anagen lagi. Kitaran ini akan berulang-ulang sehinggalah sampai satu ketika folikel rambut akhirnya menutup.

Bagi menjaga tahap kitaran rambut yang sihat, Pengurus Serantau (Country Manager) Himalaya Healthcare, K. Chandrasekaran berkata, amalan rejim penjagaan rambut perlu merangkumi tiga langkah utama.

“Pertama ialah peringkat menggunakan produk penyubur rambut pracuci. Kemudian, proses membasuh, melembutkan dan ketiga, gunakan produk perlindungan rambut sepanjang hari,” katanya sambil mengesyorkan penjagaan rambut menerusi penggunaan produk herba.