Punca dan Cara Mengatasi Sembelit

sembelit_210319bAda pelbagai punca sembelit namun yang paling utama ialah apabila sering mengabaikan isyarat membuang air besar iaitu kerap menahan pembuangan najis.

Ramai yang menangguhkan buang air besar kerana terlalu sibuk atau leka dengan satu-satu perkara. Lama kelamaan ia akan menjadi tabiat yang boleh memberi kesan negatif kepada diri. Kurang minum air dan makanan tinggi serat juga boleh menyebabkan sembelit.

Cara Mengatasi Sembelit

– Banyakkan minum air, sekurang-kurangnya tiga liter sehari. Cara paling mudah adalah dengan memerhati isyarat tubuh dan minum apabila mula terasa dahaga. Jika air kencing mula berwarna kuning pekat, banyakkan minum air.

– Makan lebih banyak serat termasuk bijirin, roti gandum penuh, nasi dan sekurang-kurangnya lima hidangan buah dan sayuran sehari.

– Lakukan senaman secara kerap. Di samping mengurangkan tekanan, bersenam juga mampu meningkatkan kadar metabolisme dan apabila metabolisme meningkat, proses untuk membuang air besar juga semakin pantas.

– Buang air besar dengan mencangkung kerana ia mudah membantu mengeluarkan najis dari dubur berbanding cara duduk. Berbaring dan kaki dinaikkan ke atas juga merangsang otot untuk membantu mengelakkan sembelit.

– Mengambil makanan herba seperti halia dan kunyit yang boleh menguatkan fungsi hati, juga membantu mencegah sembelit.

– Jauhi rokok kerana perokok tegar mudah mengalami sembelit.

– Belajar menangani tekanan. Tekanan yang tidak terkawal boleh memberi kesan kepada fungsi badan.

Menurut Doktor Kanan Kumpulan Perubatan Penawar Sdn Bhd Dr Zubaidi Ahmad, sembelit yang kronik sememangnya menyakitkan dan boleh menyebabkan buasir.

Faktor pemakanan antara elemen yang memainkan peranan penting penyebab buasir.

“Banyakkan pengambilan sayur-sayuran dan buah-buahan selain pastikan minum air secukupnya supaya proses pembuangan air besar berjalan lancar.

“Namun, sekiranya penghidapnya tidak dapat menahan rasa kesakitan melampau, langkah terbaik segera bertemu doktor bagi mendapatkan ubat yang dapat membantu mengatasi sembelit,” katanya.

Kata Dr Zubaidi, ubat melembutkan najis akan diberikan bergantung kepada keseriusan masalah yang dialami itu.

Posted on March 21, 2019, in Uncategorized. Bookmark the permalink. Leave a comment.

Leave a comment